top of page

Keputusan SPM Bukan Penentu Segalanya….Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) menjadi batu loncatan melanjutkan pelajaran ke luar negara United Kingdom.

 

Assalamualaikum. Saya ingin kongsikan perjalanan hidup saya menimba ilmu dengan bantuan pihak MARA. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa MARA mempunyai institute pengajian yang berkualiti. Mereka mungkin hanya tahu bahawa Bas Mara, kalau tahu pasal institute pengajian MARA pun kerana tidak dapat peluang untuk menyambung pelajaran di IPTA yang lebih glamour dari pusat pendidikan di bawah MARA. Tetapi semua tanggapan tersebut adalah tidak benar. Malah lebih banyak peluang diperolehi apabila belajar di KKTM. Terlebih dahulu, izinkan saya untuk meperkenalkan serba sedikit tentang latar belakang saya. Nama saya Muhammad Faris Hilman Iqbal  dan dilahirkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Saya merupakan anak sulong daripada 5 orang adik-beradik. Harapan mak dan ayah terhadap anak sulung memang sangatlah tinggi. Saya memulakan persekolahan saya di Sekolah Rendah Integrasi Taman Keramat Kuala Lumpur dari darjah 1 hingga darjah 2. Saya telah berpindah ke Kuantan atas sebab mengikut ibubapa saya dan meneruskan persekolahan saya di darjah 3 hingga 6 di Sekolah Rendah Kebangsaan Tok Sira.

 

Kemudian saya menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Kebnagsaan Tok Sera hingga ke tingkatan 3 dan menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Teknik Kuantan dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dari tingkatan 4 hingga 5. Saya agak kecewa dengan keputusan Sijil Persekolahan Malaysia (SPM) yang tidak seberapa, saya meneruskan pelajaran di tingkatan 6 sementara menunggu tawaran daripada IPTA lain. Ramai kawan-kawan sekolah saya mendapat tawaran menyambung pelajaran di IPTA. Pada mulanya saya mendapat tawaran di Politeknik tapi masa mendaftar diri di IPTA tersebut terlalu lama. Selain daripada IPTA, saya juga turut memohon untuk memasuki KKTM. Tempoh yang agak lama untuk menunggu tawaran dari IPTA yang tidak muncul-muncul. Pada bulan Jun akhirnya saya mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran di KKTM Kuantan.

 

Setelah mendapat tawaran di KKTM Kuantan, saya rasa amat bersyukur kerana masih berpeluang untuk menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan walaupun keputusan SPM saya tidak seberapa. Ketika itu, sesetengah kawan saya semasa di alam persekolahan yang telah berjaya hanya memandang rendah terhadap saya kerana tidak dapat menyambung pelajaran di Universiti yang terkenal. Sejak saya belajar di KKTM Kuantan, pensyarah-pensyarah banyak memberi nasihat kepada para pelajar untuk bersungguh-sungguh dalam pelajaran dan kata semangat di mana walaupun kami tidak mendapat keputusan SPM yang baik, kami masih boleh berjaya dan menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi sama ada di dalam mahupun di luar Negara. Waktu itu, saya telah nekad untuk belajar bersungguh demi keluarga saya. Alhamdulillah, berkat tunjuk ajar, ilmu dan doa daripada pensyarah-pensyarah serta ibubapa dan kawan-kawan, saya Berjaya menamatkan Diploma Kejuruteraan Pembuatan Kualiti dan Produktiviti dengan pointer lebih daripada 3.0. Semasa di KKTM saya belajar dalam bidang kejuruteraan dan juga termasuk kemahiran bagi mengukuhan keterampilan saya dalam bidang yang diceburi. Banyak laporan, kerja amali yang dibuat di sini. Pada zaman saya, sebuah kelas tidak ramai bagi menjaga kualiti pelajar. Syukurlah semuanya ditempuhi dengan tabah untuk menghadapi segala rintangan di KKTM.

 

Pembelajaran di KKTM berbeza, saya agak seronok belajar di KKTM Kuantan kerana selain daripada teori kejuruteraan, saya belajar kemahiran yang berkaitan.

Semasa saya di semester 6 iaitu waktu Latihan Industri (LI), saya telah mendapat tawaran daripada pihak MARA yang mengatakan saya tersenarai dalam program Profesional Development Centre (PDC) di mana program ini hasil kerjasam pihak MARA dan Syarikat STRAND. Untuk pengetahuan semua, PDC ini adalah program kelolaan di bawah MARA Aero iaitu syarikat subsidiri MARA. Semasa temuduga kali pertama oleh PDC saya tidak melepasi syarat namun rezeki menyebelahi saya kerana diberi peluang untuk temuduga kali kedua. Selepas temuduga kali kedua, saya dimaklumkan oleh seorang kakitangan PDC bahawa saya diterima masuk ke dalam program. Saya sangat bersyukur kerana terpilih walaupun menjalani temuduga kali ke-2. Semasa di PDC saya dilatih oleh jurutera STRAND dan kakitangan MARA. Terima kasih STRAND dan MARA. Setelah melalui pelbagai proses termasuk IELTS exam, akhirnya saya berjaya menempatkan diri dalam beberapa orang nama yang berjaya untuk melanjutkan pelajaran di luar negara iaitu di University Of South Wales (USW), Pontypridd, United Kingdom.

 

 

 

14 Feb saya selamat sampai di USW dengan cuaca yang sejuk bersama-sama kawan-kawan saya yang cemerlang dari KKTM yang lain. Alhamdulillah, saya dapat membiasakan diri di sini dengan cuaca yang sejuk dan berlainan waktu dengan Malaysia. Saya juga telah berjumpa dengan beberapa rakyat Malaysia yang belajar di USW dan mereka sudi memberi tunjuk ajar tentang kehidupan di sini. Saya juga ingin menyatakan ribuan terima kasih kepada pihak MARA, KKTM Kuantan dan ibubapa atas peluang dan kesempatan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Konklusinya, kepada adik-adik yang mendapat keputusan yang tidak seberapa di alam persekolahan, jangan mudah putus asa dan teruskan berusaha. Bak kata pujangga, “orang-orang yang berjaya sentiasa belajar daripada kesilapan di masa lalu”. 

 

 

Perasaan ketika itu memang tidak dapat digambarkan. Siapa sangka hanya belajar di Kolej Kemahiran dapat tawaran menyambung pelajaran di luar negara. Jutaan terima kasih kepada ibubapa, pesyarah-pensyarah dan kawan-kawan yang tidak putus-putus memberi dorongan selama ini.

 

 

Untuk pengetahuan semua lepasan SPM yang sedang menunggu keputusan, buatlah pilihan yang bijak. Jangan kecewa dengan keputusan SPM anda. Tidak perlu risau jika anda tidak mengisi borang UPU segeralah ke KKTM atau IKM yang berhampiran untuk mengisi permohonan secara manual. Insyallah masih ada kekosongan. Minat mohon KKTM Kuantan atau mana-mana KKTM boleh PM saya?

 

farishilmaniqbal [ at ] gmail.com

 

bottom of page